Monday, January 12, 2015

[ INFO KESIHATAN ] - Buasir ketika hamil

Apa itu buasir ?

Buasir (piles) ialah sejenis urat simpul (vena varikos) yang berlaku di bahagian dubur, dan ia boleh menyebabkan kesakitan. Terdapat beberapa salur darah lembut di dalam salur dubur. Salur dubur ialah tiub pendek yang menghubungkan rektum dengan dubur (anus). Ia membantu anda mengeluarkan najis dengan cara merembeskan mukus semasa anda membuang air besar.

Salur darah di dalam salur dubur ini boleh membengkak dan terkeluar semasa atau selepas anda membuang air besar. Anda mungkin boleh merasanya sebagai benjolan kecil dan lembut di dalam atau di sekeliling dubur anda. 



Simptom-simptom lain yang boleh dikesan adalah:
  • Darah merah terang selepas anda membuang air.
  • Gatal di sekeliling dubur.
  • Atau rasa seperti ada sesuatu yang terkeluar di dubur.

Mengapakah wanita hamil mengalami buasir?

Semasa anda hamil, jumlah darah dalam badan anda bertambah. Pada masa yang sama, tahap hormon progesteron yang tinggi mengendurkan dinding salur-salur darah.

Salur-salur darah di bawah uterus (rahim) anda pula lebih berkemungkinan untuk membengkak dan meregang akibat tekanan yang diterima daripada berat bayi anda yang sedang membesar. 



Maka sebab itulah anda lebih berkemungkinan mengalami buasir dan urat simpul apabila anda hamil. Sembelit juga sering berlaku ketika hamil dan juga boleh menyebabkan buasir.

Anda juga mungkin mendapat buasir selepas bersalin. Ia berlaku semasa anda meneran untuk mengeluarkan bayi.


Bagaimanakah saya boleh merawat buasir ?
  • Mandi air panas untuk mengurangkan kegatalan dan sakit. Elakkan dari menggaru tempat yang gatal kerana ini hanya akan membuatkannya lebih teruk.
  • Gunakan tekanan sejuk seperti pek ais untuk melegakan kesakitan di sekitar dubur dan mengurangkan bengkak. 
  • Bersihkan tempat yang terjejas dengan lembut dan menyeluruh selepas anda membuang air besar. Selepas mencuci, lap dengan tuala lembut atau tisu tandas yang lembut untuk mengeringkannya. 
  • Gunakan tisu tandas putih yang tidak mempunyai bau. 
  • Cuba tolak masuk buasir yang terkeluar itu secara perlahan-lahan menggunakan jari yang bersih apabila anda mandi.
  • Anda juga boleh minta doktor anda mempriskripsikan ubat sapu yang lembut atau ubat jenis supositori (yang perlu dimasukkan ke dalam dubur) untuk melegakan kesakitan. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...